RSS

Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (4)

02 Mar

Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (4)

Sumber: orgawam

Bid’ah dan Perkara Mungkar Pada Sambutan Maulid Nabi

Tidak kita nafikan terdapat beberapa perkara bid’ah dan mungkar yang berlaku pada sebilangan kecil sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم yang diadakan di beberapa buah negara ‘Arab dan negara Islam lain. Perkara ini sering kali kita ingatkan dan tegurkan keburukannya. Namun begitu, alhamdulillah di kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri tidak berlaku bid’ah dan perkara mungkar demikian.

Antara perkara mungkar tersebut adalah percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang merupakan pintu utama kejahatan dan sebab terbesar terjadinya fitnah seperti mana yang terdapat dalam hadits.

Antara bid’ah pada sebahagian sambutan maulid lagi ialah apa yang dilakukan oleh golongan yang jahil apabila menyambutnya dengan perkara-perkara yang melalaikan, permainan, nyanyian yang haram dan apa sahaja bentuk yang berkaitan yang termasuk dalam maksiat kepada Allah serta menghina larangan Allah.

Selain itu terdapat juga mereka yang menyambutnya melakukan perbuatan mungkar, meringan-ringankan shalat, bermuamalah dengan riba’, meninggalkan perkara-perkara sunnah (samada yang zahir mahupun batin).

Dan antara perkara yang buruk, yang dikira sebagai berpaling dari kebaikan dan apa yang datang dari Nabi صلى الله عليه وسلم adalah apabila sebahagian mereka hanya menyambutnya pada malam atau hari tertentu, kemudian melupakan dan meninggalkannya pada hari-hari lain sepanjang tahun. Sepanjang tahun mereka tidak ada langsung berkumpul untuk membaca sirah baginda dan mengingati kisah perjuangan baginda صلى الله عليه وسلم.

Terdapat di sebahagian tempat, mereka hanya memberi keutamaan mengingati Nabi صلى الله عليه وسلم dengan membaca sejarah baginda, mengharumkan majlis-majlis dengan membaca sifat-sifat, keutamaan baginda, madah dan pujian buat baginda, memberi makan serta perbuatan-perbuatan kebajikan lain hanya pada bulan Rabiul Awwal. Perkara-perkara ini memanglah amat baik dan tiada seorangpun meraguinya.

Namun apa yang wajib ke atas kita adalah melakukannya pada setiap hari sepanjang tahun, karena ingatan terhadap Rasul صلى الله عليه وسلم tidak mempunyai waktu yang terhad atau hari yang tertentu, malah ia merupakan agenda kehidupan seorang muslim setiap hari pada setiap urusan kehidupannya. Perhimpunan-perhimpunan yang diadakan ini pula adalah sebagai kunci bagi memperingatkan kita kepada kenyataan dan tujuan ini.
Jikalau sambutan-sambutan maulid bebas dari perkara-perkara bid’ah dan mungkar ini, tentu sekali ia merupakan wasilah yang terbaik bagi kebaikan, dan kaedah serta pintu yang termulia bagi dakwah kepada Allah, peringatan dan nasihat ummat manusia sebagai mencontohi generasi salafussoleh yang termulia.

Alhamdulillah, kebanyakan majlis sambutan maulid yang kita hadiri samada di sini mahupun di tempat-tempat lain, merupakan perhimpunan yang penuh kemuliaan dan kesucian, majlis yang dipenuhi dengan adab, perasaan indah dan penghormatan, perhimpunan keilmuaan, keutamaan, kegembiraan dan kegemilangan. Ia diadakan pula di masjid-masjid (tempat yang termulia di muka bumi), ataupun di dewan-dewan, dataran-dataran, sekolah dan institusi pengajian agama, mahupun di rumah para ulama. Ia dihadiri pula oleh para ulama besar serta para pendakwah ke jalan Allah yang menyerikan majlis dengan nasihat dan pengajaran mereka.

Mungkin mereka yang anti-sambutan maulid ini melihat kepada beberapa majlis yang diadakan yang mana terdapat padanya perkara-perkara bid’ah dan mungkar yang kita sebutkan di atas tadi. Kita jawab kepada mereka, sesungguhnya perkara-perkara mungkar tersebut tidak hanya terjadi pada sambutan maulid sahaja, tetapi juga pada sambutan-sambutan yang kita sepakati pensyariatannya, seperti di masjid-masjid, tempat-tempat mengerjakan haji dan umrah (terutamanya ketika berlaku kesesakan), atau pada perhimpunan-perhimpunan tahunan seperti solat eidul fitri dan eidul adha, wuquf di Arafah, melontar jamrah, dan apa jua perhimpunan lain. Namun begitu perkara mungkar ini tidak menjejaskan asas perhimpunan-perhimpunan ini,

لأن الماء الطهور لا ينجسه شيء

karena bahawasanya air yang suci lagi menyucikan itu tidak akan ternajis dengan sesuatu yang lain.

Maka bolehkah seorang yang berakal mengatakan kita harus melarang semua perhimpunan yang disyariatkan tersebut karena berlaku padanya perkara-perkara mungkar tersebut? سبحانك هذا بهتان عظيم (Maha Suci Engkau, ya Allah. Ini adalah satu pembohongan yang besar!)

Jika seorang yang benar-benar ingin melarang perkara mungkar dengan insaf dan berfikiran jelas tentulah mengatakan, wajib bagi kita mengingkari segala bentuk kemungkaran tidak kira berlaku dalam apa juga majlis, samada ia berlaku dalam sambutan maulid, mi’raj, haji, hari raya, tarawih, atau apa juga majlis lain, tanpa hanya menumpukan perhatian hanya pada sambutan maulid itu sendiri, dengan mengerah segala tenaga dan media, di forum-forum atau laman web tertentu atau diatas mimbar-mimbar masjid untuk memerangi perhimpunan bagi sambutan maulid.

Sesiapa yang ingin memerangi perkara mungkar dan bid’ah dengan hikmah dan keinsafan, tanpa mengkhususkannya pada sambutan tertentu sahaja, tentu sekali kita semua akan menyokong dan membantu sedaya upaya. Semoga segala sambutan yang kita adakan bersih dari perkara mungkar demi menjaga kesucian dan menghormati Tuan kepada sambutan maulid ini sendiri, صلى الله عليه وسلم.

 
 

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: