RSS

Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (3)

02 Mar

Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (3)

Sumber: orgawam

Berdiri ketika Sambutan Maulid Nabi

Adapun amalan berdiri pada Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم , iaitu ketika mana disebutkan tentang keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم ke dunia, maka sesungguhnya sebahagian orang menyangka bahawa perbuatan adalah salah, tidak mempunyai asal (dalil) disisi ahli ilmu.

Tidak ternafi juga salah faham ini juga ada pada mereka yang menyambutnya, tetapi di kalangan mereka yang benar-benar jahil yang tidak boleh kita ambil kata-kata mereka. Salah faham ini ialah, berdiri ketika sambutan ini sebagai menyambut kedatangan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dengan jasad baginda yang mulia. Antara salah faham yang lebih teruk lagi ialah kononnya wangian dan air yang diletakkan di tengah-tengah majlis adalah minuman yang disediakan untuk baginda صلى الله عليه وسلم.

Sangkaan-sangkaan begini tidak patut ada pada fikiran kita ummat Islam, dan kita berlepas diri dari sangkaan buruk begini, karena hal ini dikira biadab terhadap Rasulullah. I’tiqad sebegini tidak timbul melainkan dari orang mulhid atau pendusta. Persoalan di alam barzakh tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah.

Malah kita meyakini bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم lebih sempurna dan mulia dari sangkaan kononnya baginda keluar dari kubur dengan jasad baginda yang mulia dan datang ke majlis pada waktu-waktu tertentu. Saya mengata hal ini adalah dusta serta biadab yang terbit dari orang yang benci, dengki atau atau seorang yang bodoh sombong. Namun begitu kita memang beriktiqad bahawa baginda صلى الله عليه وسلم hidup dalam kehidupan barzakh yang sempurna yang sesuai dengan kedudukan baginda.

Dan sesuai dengan hidup yang sempurna tersebut roh baginda boleh pergi ke merata tempat di alam malakut Allah, dan boleh menghadiri majlis-majlis kebajikan dan acara-acara yang dipenuhi cahaya Allah dan ilmu pengetahuan. Begitu jugalah arwah para mukminin yang sebenar.yang mengikuti baginda.

Imam Malik rahimahullahu Ta’ala pernah berkata :

بَلَغَنِيْ أَنَّ الرُّوْحَ مُرْسَلَةٌ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ

Artinya: Telah sampai kepadaku khabar bahawa roh dapat pergi ke mana-mana dihendaki.

Salman al-Farisi radhiyallahu ‘anhu pula berkata:

أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ فِيْ بَرْزَخٍ مِنَ الأَرْضِ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ

Artinya: Roh-roh orang mukmin di alam barzakh, pergi ke mana dikehendaki. (Sebagaimana tersebut didalam kitab ar-Ruh oleh Ibn Qayyim, mukasurat 144)

Setelah engkau telah mengetahui semuanya itu, maka ketahuilah bahawa berdiri ketika sambutan maulid bukanlah wajib mahupun sunnah, dan tidak betul kita beriktiqad sedemikian. Malahan ia adalah satu harakat (gerakan) yang menggambarkan kesukaan dan kegembiraan manusia ketika mana disebutkan bahawa baginda صلى الله عليه وسلم lahir ke dunia, para pendengar dapat menggambarkan bahawa seluruh alam bergembira dan seronok dengan nikmat ini, maka mereka pun berdiri bagi menunjukkan kegembiraan ini.

Oleh itu, ia adalah masalah kebiasaan semata-mata bukan keagamaan, dan ia bukanlah ibadah, syariah atau sunnah tetapi apa yang dilakukan oleh kebiasaan manusia. Pendapat ulama tentang berdiri ketika membaca maulid Walaupun kita sebutkan sebelum ini bahawa berdiri ketika disebutkan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم adalah soal kebiasaan manusia, bukanlah suatu ibadah sunnah atau wajib, terdapat juga sebahagian ulama yang memandang baik perkara ini.

Shaikh Ja’afar al-Barzanji rahimahullahu Ta’ala, yang merupakan salah seorang penyusun kitab maulid, ada mengatakan :

وقد استحسن القيام عند ذكر مولده الشريف أئمةٌ ذوو رواية ورويّه ، فطوبى لمن كان تعظيمه صلّى الله عليه وسلّم غاية مرامه ومرماه

Artinya: Adalah dipandang baik dikalangan ulama yang mempunyai riwayat dan penelitian, perbuatan berdiri ketika kisah keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم disebutkan. Maka beruntunglah sesiapa yang melakukannya dengan tujuan untuk membesarkan Nabi صلى الله عليه وسلم.

Kami maksudkan ‘baik’ disini ialah karena harusnya hal itu dari segi zatnya, asalnya dan puji-pujian bagi Nabi صلى الله عليه وسلم yang dituntut dari mula kebangkitan itu sehingga kesudahannya. Maksud ini tidak boleh dibandingkan dengan makna yang diistilahkan pada usul fiqh.

Penuntut-penuntut ilmu yang kurang pengetahuannya pun tahu bahawa isitilah استحسن (memandang baik) itu digunakan pada perkara-perkara yang biasa difaham oleh segolongan manusia, seperti misalnya mereka berkata, “Saya dapati kitab ini baik. Perkara ini dipandang baik. Orang-orang telah menyukai perjalanan tersebut.” Maksud mereka ialah pandangan biasa dari segi bahasa. Jika tidak demikian, nescaya semua perkara-perkara itu berasal dari segi syara’, tetapi orang yang beraqal dan yang mengetahui ilmu usul fiqh tidak berkata begitu.

Beberapa Alasan Untuk Memandang Baik Berdiri Semasa Membaca Maulid

1) Kebiasaan berdiri dalam memperingati maulid pada detik-detik kisah keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم disebutkan, dilakukan oleh kaum Muslimin di perlbagai negeri, kawasan dan daerah. Para ulama di timur dan di barat juga memandangnya sebagai kebiasaan yang baik. Tujuannya tiada lain dari memuliakan, membesarkan pihak yang diperingati maulidnya, iaitu junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Dan apa yang dipandang baik oleh muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah dan apa yang dipandang keji maka ia adalah keji di sisi Allah seperti mana yang kita telah sebutkan sebelum ini dalam hadis mauquf daripada Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu.

2) Berdiri hormat bagi menghormati ahlul fadhl adalah disyariatkan dan dalil-dalil yang mentsabitkannya banyak terdapat didalam sunnah. Malah Imam Nawawi rahimahullah Ta’ala telah menyusun bab ini dalam satu bahagian tersendiri dan ia diperkuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar rahimahullah Ta’ala yang telah menyanggah kata-kata mereka yang menolak (iaitu Ibnu al-Haj) pendapat Imam Nawawi dalam perkara ini dalam satu kitab yang lain yang bernama: رفع الملام عن القائل باستحسان القيام

(3 Diriwayatkan dalam sebuah hadits yang muttafaq ‘alaih bahawa baginda صلى الله عليه وسلم menyeru kepada kaum Ansar :

قُوْمُوْا إِلىَ سَيِّدِكُمْ

Artinya: “Berdirilah bagi penghulu kalian”.

Perintah berdiri ini adalah sebagai menghormati dan mengagungkan Sayyidina Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, dan bukanlah karena beliau sedang sakit ketika itu.

Ini karena jika perintah ini hanya disebabkan Sayyidina Sa’ad sedang sakit, tentulah baginda akan memerintah : قوموا إلى مريضكم “berdirilah bagi menyambut orang yang sedang sakit di kalangan kalian”, dan bukannya, berdirilah bagi penghulu kalian.(10)

4) Antara petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم adalah baginda selalu berdiri sebagai menghormati dan menyambut sesiapa yang masuk berjumpa baginda. Ini seperti mana yang baginda lakukan sendiri ketika mana baginda berdiri menyambut puteri baginda Sayyidah Fathimah رضي الله عنها, dan menyatakan penghormatan baginda untuk beliau. Begitu juga perintah kepada kaum Ansar untuk berdiri menyambut penghulu mereka. Maka ini menunjukkan pensyariatan berdiri, dan baginda صلى الله عليه وسلم adalah yang paling berhak kita agungkan dari para sahabat tadi.(11)

5) Mungkin dikatakan bahawa penghormatan tersebut boleh jika pada masa hayat dan kehadiran baginda صلى الله عليه وسلم, dan ketika sambutan maulid ini baginda tidak hadir. Jawapannya adalah, para pembaca maulid yang mulia menggambarkan di dalam jiwa mereka hadirnya baginda صلى الله عليه وسلم.

Dan gambaran ini merupakan suatu perkara yang terpuji dan dituntut, malah mesti dilakukan setiap waktu dalam minda setiap muslim yang benar-benar beriman, bagi menyempurnakan ketaatan dan menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Mereka berdiri sebagai tanda hormat dan mulia dengan gambaran yang ada pada jiwa mereka berkenaan Rasul yang agung ini, sambil merasakan kemuliaan dan keagungan kedudukan baginda. Dan ini merupakan suatu perkara yang biasa, seperti mana disebutkan sebelum ini. Malah menghadirkan demikian itu adalah suatu yang mesti bagi menambahkan rasa penghormatan kepada baginda صلى الله عليه وسلم.

____________________________________________________________

Catatan kaki:-

(10) Selain itu tentulah tidak diperintahkan semua orang berdiri bagi menyambutnya, karena cukuplah sebahagian sahaja yang berdiri menyambut orang yang sakit. Di sini jelas bahawa perintah berdiri bagi memuliakan seseorang adalah disyariatkan.]

(11) Terdapat beberapa hadits lagi yang menunjukkan bahawa baginda berdiri karena menyambut seseorang antaranya:-

قالت أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها: قدم زيد بن حارثة المدينة والنبي صلى الله عليه وسلم في بيتي، فقرع الباب فقام إليه فاعتنقه وقبله

Artinya ( lebihkurang): Ummul Mu’minin ‘Aisyah berkata: Ketika Zaid bin Haritsah tiba ke Madinah, dan ketika itu baginda sedang berada dirumahku. Maka Zaid mengetuk pintu rumahku. Maka Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri menyambut kedatangannya, lalu memeluk dan menciumnya.

أخرج أبو داود عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: كان والنبي صلى الله عليه وسلم يحدثنا فإذا قام قمنا إليه حتى نراه قد دخل

Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah رضي الله عنه , katanya: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbicara dengan kami. Apabila baginda berdiri, maka kamipun sehingga melihat baginda telah pun masuk (ke dalam rumahnya).

و أخرج أبو داود في سننه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان جالسا يوما فأقبل أبوه من الرضاعة فوضع له بعض ثوبه فجلس عليه، ثم أقبلت أمه من الرضاعة فوضع لها شق ثوبه من الجانب الآخر، ثم أقبل أخوه من الرضاعة فقام فأجلسه بين يديه

Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam sunannya bahawa pada suatu hari Nabi صلى الله عليه وسلم sedang duduk. Lalu datang ayah susuan baginda. Baginda membentangkan kain baginda untuknya, dan dia (ayah susuan baginda) duduk diatasnya. Kemudian datang pula ibu susuan baginda. Baginda membentangkan bahagian dari kain baginda, dan dia (ibu susuan baginda) duduk diatasnya. Setelah itu datang saudara susuan baginda, maka baginda berdiri mempersilakan duduk bersama baginda.

 
1 Komentar

Ditulis oleh pada Maret 2, 2010 in Sejarah & Biografi, Tentang Nabi SAW

 

One response to “Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid (3)

  1. Abdullah

    Maret 26, 2010 at 7:12 pm

    Syukran atas penjelasannya.

     

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: